
Solat tahajjud ialah solat sunat yang dikerjakan diwaktu malam selepas tidur yakni ketika melakukan Qiamullail . Berjaga malam untuk beribadah sangat dituntut oleh Agama Islam dan cara ibadah yang paling utama adalah sembahyang tahajud atau solat malam. Allah berfirman yang ertinya :
"Dan bagunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah 'solat tahajjud' padanya sebagai solat tambahan bagimu semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkan engkau pada hari akhirat ditempat yang terpuji" [al-Quran 17:79].
Solat malam sudah menjadi amalan para nabi dan orang-orang soleh sejak zaman dahulu. Rasulullah SAW sendiri tidak pernah meninggalkan solat Tahajjud walau satu malam pun sehingga kedua-dua kaki baginda bengkak-bengkak kerana terlalu banyak berdiri. Baginda bersabda yang ertinya :
"Solat yang paling utama selepas solat fardu adalah solat malam (solat tahajjud)" (H.R Muslim)
Antara kelebihan solat sunat tahajjud :
1 . Tahajjud adalah solat sunat yang paling afdal .
2 . Doa dimakbulkan Allah.
3 . Memperolehi ketenangan jiwa.
4 . Merasai diri hampir kepada Allah SWT.
5 . Diberikan keistimewaan oleh Allah SWT.
6 . Memperolehi pertolongan dan rahmat Allah.
7 . Menewaskan gangguan dan godaan syaitan.
8 . Mencegah dosa dan menghindari penyakit.
9 . Menjadi lebih berdisiplin dalam melakukan tugas.
10 . Allah SWT memudahkan menerima ilmu yang dipelajari.
11 . Terkeluar daripada catatan sebagai golongan yang lalai.
12 . Dihormati masyarakat dan dijauhi daripada hasad dengki manusia.
13 . Allah SWT memberikan kemudahan dan rezeki yang berpanjangan.
14 . Orang bersolat Tahajud menjadi kesayangan Allah SWT.
15 . Diberi keistimewaan yang orang lain tidak perolehi.
16 . Mendapat kemuliaan Allah SWT di dunia dan akhirat.
17 . Meninggikan martabat seorang hamba di sisi Allah Azza Wa Jalla.
18 . Memudahkan hisab di akhirat dan melintasi Titian Siratal-Mustaqim.
Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang hendak tidur dan berniat untuk bangkit bagi mengerjakan Solat Sunat Tahajjud, kemudian tidurnya terlajak sampai ke pagi, maka dicatat niatnya itu sebagai satu pahala, manakala tidurnya pula dikira sebagai kurniaan Allah yang diberikan kepadanya.” (Riwayat al-Nasa’i dan Ibnu Majah r.a.)