
Surah Al-Ikhlaṣ (الإخلاص) bererti Keikhlasan atau ‘Yang Ikhlas’ adalah surah at-Tauḥīd (التوحيد) (Monoteisme) yang merupakan Penyataan Ringkas Tauhid, Perisytiharan Kesempurnaan Allah SWT serta Ketulusan Agama. Surah Ikhlas meringkaskan dalam empat ayat tentang ketuhanan dan keesaan Allah SWT.
Surah Al-Ikhlaṣ terdiri daripada 4 ayat adalah surah ke-112 dalam Al-Quran. Al-Ikhlas bererti ‘Kesucian’ atau ‘Penulenan’ yang bermaksud untuk kekal suci dan setia atau keadaan membersihkan jiwa seseorang dari kepercayaan bukan-Islam, seperti paganisme, animisme dan kemusyrikan. Ini adalah satu-satunya surah dalam Al-Quran yang namanya tidak terdapat atau tidak mempunyai hubungan linguistik terhadap surah itu sendiri.
Ia juga dikenali sebagai Surah Pelindung. Surah ini adalah sebuah surah Makkiyah yang mengesahkan mengenai Bilal yang ketika diseksa oleh tuannya yang kejam, dia berulang kali mengatakan “Ahad! Ahad!” (Tunggal, merujuk kepada Allah SWT).
بِسْمِ اللَّـهِ الرَّحْمَـٰنِ الرَّحِيمِ
Bis-mil-lah hir-rah-maa nir-ra-him
Dengan nama Allah yang Maha Pengasih, Lagi Maha Penyayang.
.
قُلْ هُوَ اللَّـهُ أَحَدٌ
Qul hu-wal-la-hu a-had
1. Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa.
.
اللَّـهُ الصَّمَدُ
Al-lah hus-sho-mad
2. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat.
.
لَمْ يَلِدْ وَلَمْ يُولَدْ
Lam ya-lid wa-lam yuu-lad
3. Dia tiada beranak dan tidak juga diperanakkan.
.
وَلَمْ يَكُن لَّهُ كُفُوًا أَحَدٌ
Wa-lam ya-kul la-hu ku-fu-wan a-had
4. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
Surah Al-Ikhlas adalah di antara surah yang banyak fadhilatnya. Beberapa keutamaan dan khasiat surah al-Ikhlas antara lain :
1. Mengusir Iblis Dan Syaitan
Bacalah ayat ini sebelum anda memulakan apa-apa saja kerja kerana dengan bacaan ini akan keluarlah iblis dan syaitan yang berada di dalam tubuh kita dan juga di sekeliling kita, mereka akan berlari keluar umpama cacing kepanasan.
2. Sebahagian Al-Quran
Dari Imam Bukhari, diriwayatkan daripada Abu Sa’id al-Khudri; seseorang mendengar bacaan surah al-Ikhlas berulang-ulang di masjid. Pada keesokan paginya dia datang kepada Rasulullah SAW dan sampaikan perkara itu kepadanya kerana dia menyangka bacaan itu tidak lengkap. Rasullullah SAW bersabda, “Demi tangan yang memegang nyawaku, surah itu seperti sepertiga al Quran!”
Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca ‘Qulhuallah (sehingga akhir ayat), maka seolah-olah dia telah membaca sepertiga Al-Qur’an”.
3. Khatam Al-Quran
Orang yang membaca surah Al-Ikhlas satu kali sama ganjarannya dengan memperoleh ganjaran membaca sepertiga Al-Quran. Jadi jika membaca surat Al-Ikhlas tiga kali mendapat ganjaran seperti membaca satu Al-Quran.
“Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas tiga kali, maka seakan-akan dia telah membaca Al-Quran seluruhnya.” (Hadith Riwayat Al’ugaili dan Rajaa Al Ghanawy)
4. Pahala membacanya
Dari Ubay Ibn Ka’ab – Rasulullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca Surah Al-Ikhlas satu kali, maka Allah SWT menganugerahkan kepadanya pahala seorang yang beriman kepada Allah SWT, MalaikatNya, Kitab-KitabNya dan Rasul-RasulNya, dan Dia menganugerahkan kepadanya dari pahala seperti pahala syuhada.”
5. Penebus Diri
Membaca Al-Ikhlas 1000 kali, bermakna ia telah pun membeli dirinya kepada Allah Ta’ala.
“Sesiapa yang mampu membaca Al-Ikhlas seribu kali berarti ia telah menebus dirinya dari neraka.”
6. Diampuni Dosanya Oleh Allah SWT
Orang yang membaca surat al-ikhlas 50 kali maka memperoleh ganjaran dengan diampuni dosanya selama 50 tahun.
Rasullullah SAW bersabda : “Sesiapa membaca surah Al-Ikhlas sebanyak seratus kali, maka Allah mengampuni 50 perbuatan dosa, selama ia menjauhi empat perkara; Penumpahan darah (melukai atau membunuh), perampasan harta, Perbuatan zina dan Minuman keras.”
7. Selamat Di Alam Barzakh
Sabda Rasulullah SAW: “Sesiapa membaca surah Al-Ikhlas sewaktu sakit sehingga dia meninggal dunia, maka dia tidak akan membusuk di dalam kuburnya, akan selamat dia dari kesempitan kuburnya dan para malaikat akan membawanya dengan sayap mereka melintasi titian siratul mustaqim lalu menuju ke syurga.” Demikian diterangkan dalam Tadzikaratul Qurthuby).
8. Balasan Syurga
Dari Al-Muwatta’, diriwayatkan oleh Abu Hurairah; “Saya sedang berjalan dengan Rasulullah SAW lalu Baginda mendengar seseorang membaca surah al-Ikhlas. Baginda SAW berkata,“Wajiblah.” Saya bertanya kepadanya, “Apa ya Rasulullah?” Baginda SAW menjawab, “Syurga” (Wajiblah syurga bagi si pembaca itu).”
9. Dipelihara Keselamatan
Rasululllah SAW bersabda: “Sesiapa yang membaca surah Al-Ikhlas sebelas kali setiap selesai solat Subuh maka dirinya akan dijaga dari perbuatan dosa selama sehari tersebut.”
Sumber : http://shafiqolbu.wordpress.com/2011/12/22/fadhilat-dan-khasiat-surah-al-ikhlas/