
Realiti zaman ini, ramai manusia yang bersolat tetapi akhlak dan jiwa mereka umpama manusia yang tidak beragama. Hanya taqwa sebagai jalan penyelesaian utama bagi masalah ini. Oleh itu, tingkatkanlah kualiti taqwa dan iman kita kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh beserta hati yang ikhlas dan perasaan yang amat takut kepadaNya. Moga kita terpilih sebagai orang-orang yang mendapat rahmat dan keredhaan Allah SWT di dunia dan di akhirat.
Takbur adalah sifat, mazmumah yang ada dalam hati manusia. Ia juga dikenali sebagai sifat sombong yang banyak berjangkit kepada manusia di zaman kini tidak kira dari golongan yang jahil atau dari kalangan cerdik pandai malah alim ulama sekalipun.
Perlu diingatkan bahawa, Takbur merupakan ibu bagi segala sifat mazmumah kerana orang yang takbur akan merasakan dirinya lebih baik dan lebih mulia berbanding orang lain. Di dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim Rahimahullah daripada Abdullah bin Mas’uud RA,
Rasulullah SAW bersabda:
Maksudnya: “Tidak masuk syurga orang yang ada di dalam hatinya (sifat) Takbur (walaupun) sebesar zarah. Lalu seorang lelaki bertanya: (Bagaimana dengan) orang yang suka berpakaian dan berkasut cantik? Maka jawab baginda: Sesungguhnya Allah itu sifatNya cantik, Dia suka kepada kecantikan. Adapun takbur ialah menolak kebenaran dan merendahkan manusia lain.”
3 Ciri Utama Orang Takbur
Pertama: Merasa dirinya lebih baik. Orang takbur akan menganggap dirinya lebih baik, mulia dan sempurna berbanding orang lain.
Kedua: Menghina orang lain. Pada masa yang sama, dia memandang orang lain adalah begitu hina, daif dan penuh dengan cacat cela.
Ketiga: Menolak kebenaran. Dia menganggap dirinya terlalu hebat dan akan menolak segala pandangan, teguran dan saranan orang lain walaupun benar.
Ingatlah! Allah SWT mewajibkan kita memerangi rasa takbur yang ada dalam diri kerana ia akan membawa kerosakan yang amat dahsyat di dunia dan di akhirat. Antara cara yang berkesan melebur takbur adalah dengan solat.
Firman Allah SWT di dalam surah al-‘Ankabut ayat 45 :
Maksudnya: “Bacalah serta ikutlah (wahai Muhammad) akan apa yang diwahyukan kepadamu dari Al-Quran dan dirikanlah sembahyang (dengan tekun); sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya) dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”
Kesimpulan:
Pertama: Orang yang takbur akan dibenci oleh Allah dan manusia serta akan mendapat azab seksaan yang berat di akhirat kelak.
Kedua: Kita wajib berusaha bersungguh-sungguh untuk membuang sifat takbur yang ada dalam diri.
Ketiga: Kita perlu menjaga solat dan memperbaiki kualiti solat kita kerana dengan itu dapat mencegah diri kita daripada sifat takbur dan segala perkara yang mungkar.
Sumber: Dipetik dari khutbah JAIWP 25 April 2014