
Assalamualaikum
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah s.a.w pernah ditanya :
"Apakah amalan yang paling utama ? Baginda s.a.w. bersabda : "Beriman kepada Allah s.w.t Sahabat bertanya lagi : Kemudian apa ? Rasulullah s.a.w bersabda : Jihad pada jalan Allah s.w.t. iaitu berjuang pada jalan Allah s.w.t. dan Sahabat bertanya lagi : Kemudian apa ? Rasulullah s.a.w bersabda : Haji Mabrur iaitu ibadat Haji yang diterima "
Diriwayatkan daripada Abdullah bin Masud r.a katanya : Aku pernah bertanya Rasulullah s.a.w :
"Apakah amalan yang paling utama ? Baginda s.a.w. bersabda : Sembahyang pada waktunya . Aku bertanya lagi : Kemudian apa lagi ? Baginda s.a.w. bersabda : Berbakti kepada kedua orang tua . Aku bertanya lagi : Kemudian apa lagi ? Baginda s.a.w. bersabda : Berjuang pada jalan Allah . Kemudian aku bertanya lagi kepada Baginda s.a.w., semata-mata ingin menemani dan menjaga perasaan Baginda s.a.w ."
Adakah jihad ke arah pembangunan dan ekonomi seperti yang disyorkan oleh media massa itu dapat mendekatkan diri kita kepada Allah s.w.t ? Apa matlamat jihad pembangunan dan ekonomi itu , disandarkan kepada apa ? Keranamu Malaysia ? Dimata dunia ? Dapatkah harta benda kita di bawa ke liang lahad dan menjadi penolong kita di akhirat ?
Diriwayatkan daripada Anas bin Malik r.a katanya : Rasulullah s.a.w bersabda : Tiga perkara yang akan mengikuti mayat dan dua daripadanya akan pulang . Hanya satu sahaja yang akan bersamanya dalam kubur . Perkara tersebut ialah : Kaum kerabat , harta benda dan amalannya . Semua kaum kerabat dan harta bendanya akan pulang , manakala yang kekal bersamanya ialah amalannya *
Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Demi sesungguhnya ! Jika kamu terbunuh pada jalan Allah (dalam perang Sabil) , atau kamu mati (mati biasa - semasa mengerjakan kebajikan umum) , sesungguhnya keampunan dari Allah S.W.T. dan rahmatNya adalah lebih baik (bagi kamu) dari apa yang mereka (orang-orang kafir dan munafik) itu himpunkan (meliputi segala jenis kesenangan hidup) . - Surah Al-Imran 157 .