
Nisfu Syaaban (Nisf bermaksud separuh) adalah peristiwa hari ke-15 dalam bulan Syaaban tahun Hijrah. Umat Islam mempercayai yang pada malam Nisfu Syaaban, amalan akan dibawa naik oleh Malaikat untuk ditukar dengan lembaran amalan yang baru setelah setahun berlalu. Pengertian am Nisfu Syaaban dalam bahasa Arab bererti setengah. Nisfu Syaaban bererti setengah bulan Syaaban. Malam Nisfu Syaaban adalah malam ke-15 Syaaban iaitu siangnya 14 haribulan Syaaban.
Malam Nisfu Syaaban merupakan malam yang penuh berkat dan rahmat selepas malam Lailatul Qadar. Saiyidatina Aisyah r.a. meriwayatkan bahawa Nabi tidak tidur pada malam itu sebagaimana yang tersebut dalam sebuah Hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Baihaqi r.a:
Rasulullah telah bangun pada malam (Nisfu Syaaban) dan bersembahyang dan sungguh lama sujudnya sehingga aku fikir beliau telah wafat. Apabila aku melihat demikian aku mencuit ibu jari kaki Baginda dan bergerak. Kemudian aku kembali dan aku dengar Baginda berkata dalam sujudnya, “Ya Allah aku pohonkan kemaafanMu daripada apa yang akan diturunkan dan aku pohonkan keredhaanMu daripada kemurkaanMu dan aku berlindung kepadaMu daripadaMu. Aku tidak dapat menghitung pujian terhadapMu seperti kamu memuji diriMu sendiri.
Setelah Baginda selesai sembahyang, Baginda berkata kepada Saiyidatina Aisyah r.a. “Malam ini adalan malam Nisfu Syaaban. Sesungguhnya Allah Azzawajjala telah datang kepada hambanya pada malam Nisfu Syaaban dan memberi keampunan kepada mereka yang beristighfar, memberi rahmat ke atas mereka yang memberi rahmat (membuat amal makruf dan nahi munkar) dan melambatkan rahmat dan keampunan terhadap orang-orang yang dengki.”
Hari Nisfu Syaaban adalah hari dimana buku catatan amalan orang-orang Muslimin selama setahun diangkat ke langit dan diganti dengan buku catatan yang baru. Catatan pertama yang akan dicatatkan dibuku yang baru akan bermula sebaik sahaja masuk waktu Maghrib (waktu senja), (15 Syaaban bermula pada 14 haribulan Syaaban sebaik sahaja masuk waktu Solat Maghrib)
Nabi Muhammad s.a.w. menggalakkan umatnya untuk bangun malam dan berjaga serta beriktikaf sepanjang malam kerana tidak mahu amalan diangkat dalam keadaan tidur atau lalai.
AMALAN MALAM NISFU SYAABAN
Setelah selesai solat sunat Ba’diyah Maghrib atau Isyak, bacalah Surah Yasin 3 kali dengan setiap satunya diniatkan memohon:
- bacaan 1 : Dipanjangkan umur dalam keadaan sihat untuk mentaati Allah.
- bacaan ke 2 : Ditetapkan iman dan dijauhkan dari bala bencana.
- Bacaan ke 3 : Diluaskan rezeki yang halal dan diberkati.
PERBANYAKKAN ISTIGHFAR
Lafazkan "astaghfirullahal'azhim (memohon ampun) dan taubat dari segala dosa-dosa besar dan kecil
PERBANYAKKAN SOLAT-SOLAT SUNAT
seperti :
- Solat Sunat Dhuha
- Solat Sunat Rawatib
- Solat Sunat Tahajud
- Solat Sunat Tasbih
- Solat Sunat Taubat
- Solat Sunat Hajat
- Solat Sunat Witir
Nabi SAW bersabda: “Lakukanlah amalan setakat yang kamu terdaya. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu semua jemu.”
MEMBACA AL QURAN
MEMPERBANYAKKAN SEDEKAH
PERBANYAKKAN SELAWAT & BERDOA
PERBANYAKKAN TASBIH,TAHMID,TAHLIL,TAKBIR
Ucap subhanallah alhamdulillah lailahaillallah allahuakbar
Fadilat : setiap satunya akan ditulis baginya 20 kebajikan dan digugurkan daripadanya 20 kejahatan.
Memperbanyakkan puasa sunat.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Barangsiapa berpuasa 3 hari pada permulaan Syaaban dan 3 hari pada pertengahan Syaaban dan 3 hari pada akhir Syaaban, maka Allah SWT mencatat untuknya pahala seperti pahala 70 nabi dan seperti orang-orang yang beribadat kepada Allah SWT selama 70 tahun dan apabila dia mati pada tahun itu maka dia seperti orang yang mati syahid”.
Maka, sewajarnya kita melakukan amalan-amalan yang soleh pada malam berkenaan dan mengelakkan apa yang Allah benci, mudah-mudahan kita semua diampunkan.