
Alangkah besarnya kecelakaan yang dibawa oleh arak sehingga Rasulullah SAW telah melaknat 10 golongan manusia yang terlibat dengannya. Baginda terkenal dengan sifat lemah lembut dan pemaaf, tetapi sangat tegas terhadap ibu segala maksiat ini. Sabda Rasulullah SAW sebagaimana riwayat oleh Imam alTirmizi Rahimahullahu Taala daripada Anas bin Malik Radiallahu ‘anhu:
Bermaksud: “Sesungguhnya Rasulullah SAW telah melaknat 10 orang yang berkaitan dengan arak; pembuatnya, pengedarnya, peminumnya, pembawanya, penerimanya, penuangnya, penjualnya, pemakan wang hasilnya, pembayarnya dan pemesannya”. Setiap sen yang diperoleh daripada sumber yang berkaitan dengan arak, pasti menjadi sebab hilangnya keberkatan dalam kehidupan seseorang. Bahkan ia menjadi punca keruntuhan insitusi keluarga dan kecacatan ibadat. Allah SWT juga mengingatkan kita bahawa arak itu sebenarnya senjata syaitan dan iblis untuk merosakkan iman dan takwa umat manusia. Renungkanlah firman Allah SWT dalam surah al-Maaidah ayat 91
Menurut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada tahun 2002 mengumumkan alkohol (arak) adalah salah satu pemusnah kesihatan yang berbahaya di dunia yang mengundang pelbagai penyakit kronik antaranya gastrik, penkreas, ulser peptik, darah tinggi, penyakit jantung, penyakit saraf seperti sawan, kebas, hilang ingatan dan koma. Fakta sebeginilah yang perlu kita utamakan untuk disebarkan secara meluas supaya ianya mampu menyekat umat islam terutamanya golongan remaja daripada terus terpesong dan menjadi hamba alkohol. Menurut Imam Abu Laith Assamarqandi pula, peminum arak tidak sedar apa yang dicakapkan, mudah marah, hilang tumpuan terhadap diri sendiri, hilang rasa malu, hilang nilai diri, terhalang daripada mengingati Allah.
Imam Abdul Razzaq dalam al-Musannaf menceritakan, Seorang pemuda yang sangat kuat beribadah telah difitnah oleh seorang pelacur yang jatuh hati kepadanya.
Perempuan itu menggunakan helah supaya pemuda tersebut datang kerumahnya, kononnya atas suatu hajat yang penting. Apabila pemuda tersebut masuk kerumahnya, dia segera mengunci pintu. Di dalam rumah tersebut ada seoarng bayi kecil dan satu hidangan arak, perempuan itu berkata: “Aku beri kamu tiga pilihan, berzina denganku, bunuh bayi ini atau minum arak ini. Sekiranya kamu enggan, aku akan menjerit dan memberitahu orang ramai bahawa kamu telah memperkosaku”.
Melihat kesungguhan pelacur ini, pemuda tersebut terpaksa membuat satu pilihan. Dia memilih meminum arak kerana berpendapat ia adalah dosa yang paling ringan. Membunuh bayi dan berzina adalah melibatkan orang lain, tetapi meminum arak hanya melibatkan dirinya sahaja untuk bertaubat. Akhirnya dia meminum arak sehingga mabuk dan ketika mabuk, dia berzina dengan pelacur itu kemudian dia membunuh bayi itu pula. Malah arak boleh menyebabkan seseorang itu mengabaikan keluarga, mencederakan ahli keluarga, mudah marah dan sebagainya.
Dalam Islam arak itu sendiri adalah haram walaupun sedikit. Sabda Nabi SAW sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibn Majah Rahimahullah daripada Jabir bin Abdillah RA :
Maksudnya: “ Sesuatu yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram”
Pertama: Kita hendaklah menjauhkan diri dari arak kerana arak boleh merosakkan diri dan masyarakat.
Kedua: Pengambilan Arak yang dilarang oleh Syarak terbukti membawa kerosakan yang besar dalam kehidupan manusia.
Ketiga: Ibu bapa perlu sedar dan bekerjasama dalam membendung budaya pengambilan arak yang semakin berleluasa di kalangan remaja.
Dipetik dari teks khutbah jawi 6 December 2013 .