
Bersedekah adalah satu amalan sunat yang sangat dituntut oleh Islam. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: " Tidak akan berkurang harta orang bersedekah". Bersedekah ini boleh dianalogikan seperti kita mengambil air dari perigi atau telaga dengan menggunakan timba. setiap kali kita mengambil air daripada perigi tersebut maka akan digantikan dengan air lain pula tanpa berkurang sedikit pun. Kita harus faham bahawa rezki yang Allah s.w.t berikan kepada kita bukanlah untuk kita seorang sahaja. Sebenarnya kita diamanahkan oleh Allah s.w.t untuk menjaga dan mengagihkan rezki tersebut untuk insan lain juga.
Apabila kita bersedekah hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita termasuk adik beradik dan juga jiran tetangga sebelum menghulur bantuan kepada orang lain. Ini dijelaskan dalam hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad. Antara lain ia menyusun keutamaan bersedekah kepada diri sendiri, isteri, anak, orang gaji dan jika masih ada sedekahlah kepada sesiapa yang memerlukan. Jika masih ada golongan fakir dan miskin di negara kita, lebih baik kita bersedekah kepada mereka sebelum bersedekah kepada penduduk luar negara.
Tangan Di Atas Lebih Baik Daripada Tangan Di Bawah
Hadith :
Dari Hakim bin Hizam r.a katanya:
”Tangan yang di atas (tangan yang memberi) lebih baik dari tangan yang di bawah (tangan yang menerima atau meminta). Maka kerana itu mulakanlah memberi kepada keluargamu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika kaya. Sesiapa yang memohon dipelihara (agar ia tidak sampai meminta-minta) Allah akan memeliharanya dan sesiapa yang memohon dicukupkan (agar ia tidak bergantung selain kepada Allah) Allah akan mencukupkannya.” (al-Bukhari)
Kelebihan Bersedekah Menurut Keterangan al-Qur'an:
Kelebihan bersedekah secara umum digambarkan dengan indahnya di dalam al-Qur'an. Banyak sekali ayat-ayat suci yang menerangkan. Di antaranya seperti berikut:
Jelasnya, orang-orang yang bermurah hati membelanjakan hartanya pada jalan Allah meliputi segala jenis kebajikan umum akan dibalas oleh Allah Taala dengan pahala tujuh ratus kali ganda, asalkan sedekah atau derma dan khairat itu diberikan dengan ikhlas kerana Allah semata-mata.
Sedekah itu ada 10 kepujian, lima di dunia dan lima di akhirat .
Lima di dunia
- Mencucikan hartanya
- Mencucikan badannya
- Menolak bala dan penyakit
- Menggembirakan orang miskin dan mengembirakan orang mukmin adalah semulia-mulia amal .
- Berkat hartanya dan diluaskan Allah rezekinya .
Lima Di akhirat :
- Dinaungkan Allah orang yang bersedekah di hari Qiamat ketika sangat panas
- Ringan hisabnya
- Berat timbangannya (amalan) di akhirat
- Mudah melalui titian Siratal-Mustaqim
- Bertambah darjatnya di dalam syurga
“Sampaikanlah dariku walau hanya sepotong ayat” (HR. Bukhari)